Sembang Pendapat

Ruangan ini mengalu-alukan sumbangan pendapat, saranan dan idea kalangan pendidik di seluruh negara untuk memartabatkan lagi institusi pendidikan di negara kita..

2012 TAHUN PENUH CABARAN UNTUK GURU
TAHUN 2012 akan menjadi tahun yang paling mencabar untuk guru-guru. Semenjak KSSR diperkenalkan pada tahun lalu (2011), pelbagai tranformasi pendidikan telah diperkenalkan oleh kementerian Pelajaran. Guru-guru harus bersedia dari aspek mental dan fizikal. Tempoh untuk kita bersantai telah berlalu. Para guru harus bersedia untuk berubah. Pendidikan adalah satu proses yang dinamik. Oleh yang demikian pemikiran dan tindakan guru harus lebih dinamik dan drastik.
Gaya seorang guru yang berlenggang masuk ke dalam kelas harus dilupakan. Kapur dan papan hijau hanya satu kaedah tetapi ada banyak lagi kaedah yang boleh guru terokai. Gunakanlah segala kemudahan yang disediakan oelh kerajaan untuk mendidik anak bangsa kita. Di bahu para guru terpikul satu amanah yang amat mulia.
Teringat bagaimana guru-guru tersentak apabila aplikasi saps diperkenalkan. Ramai yang bersungut..maklumlah selama ini kita hanya mahir dengan kaedah manual dalam pengurusan dapatan peperiksaan. Alhamdulillah akhirnya dengan semangat guru-guru yang enggan ketinggalan, kita semua telah menarik nafas lega.


Pada 1 Januari yang lalu kerajaan telah memperkenalkan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang banyak memihak kepada kalangan guru. Kebanyakan guru berpuas hati dengan skim tersebut dan tidak henti-henti memanjatkan lesyukuran. Namun yapa yang amat menyedihkan ialah terdapat segelintir guru yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa juga yang diperkenalkan oleh kerajaan. Golongan guru seumpama ini adalah terdiri dari mereka yang tidak tahu bersyukur. Bila kenaikan gaji dianggap sedikit mereka akan terpekik terlolong tidak berpuas hati tetapi apabila diminta melakukan tranformasi dalam PDP mereka bersungut tak tentu arah. Golongan guru sebegini tidak harus wujud dalam amna-mana institusi pendidikan di negara kita.

SELAMAT BERTUGAS SEHINGGA JAM 4.30 PETANG BUAT SEMUA GURU BERJIWA KENTAL

Agak lama saya tidak menulis di ruang sembang-sembang ini. Pada tahun 2010 yang lalu,saya telah mengambil cuti tanpa gaji dan apabila memulakan semuala tugas menjelas 2011, saya menjadi begitu sibuk dengan pelbagai kerja yang tertunggak. Alhamdulillah dengan semangat yang kental,akhirnya saya berjaya menyelesaikan kerja-kerja tertunggak selama ini. Tahun 2012 merupakan tahun yang akan mencabar kekentalan jiwa para pendidik di seluruh negara.
Satu perubahan besar yang akan memeranjatkan para pendidik ialah cadangan kerajaan untuk meminda masa bekerja guru-guru sehingga jam 4.30 petang. Mereka akan memulakan tugas seawal jam 7.30 pagi dan berakhir jam 4.30 petang. Ini bermakna, guru-guru akan mempunyai masa bekerja yang sama dengan para penjawat awam yang lain iaitu lapan jam bekerja dan 1 jam rehat. Seandainya cadangan tersebut berjalan dengan baik di beberapa buah sekolah rintis, ianya akan diperluaskan ke seluruh negara.
Banyak respon yang kedengaran di kantin-kantin sekolah dan dikalangan masyarakat banyak khususnya guru-guru. Boleh dikatakan semuanya menentang dan tidak bersetuju dengan cadangan tersebut. Pelbagai reaksi kontra kedengaran dengan begitu lantang sekali. Amat sedikit sekali yang bersetuju.
Selama ini guru-guru telah terbiasa dengan jam bekerja sedia ada. Di sekolah Seri Saujana ini, semua guru akan hadir ke sekolah jam 7 pagi dan berakhir jam 2 petang. Mereka mempunyai masa yang agak panjang di rumah iaitu kira-kira tiga jam berbanding penjawat awam yang lain. Guru atau pendidik adalah satu-satunya penjawat awam yang bertugas secara fleksibel tanpa mengira waktu demi kepentingan para pelajar. Kerja mereka tidak habis sekadar jam dua petang. Begitu juga dengan hari sabtu dan hujung minggu. Cuti persekolahan hanya dinikmati 2/3 kerana 1/3 lagi terpaksa bertugas di sekolah masing-masing. Sekembalinya ke rumah, mereka juga terpaksa menanda kerja-kerja pelajar yang biasanya bertimbun bergantung kepada bilangan pelajar. Guru juga dikehendaki untuk merancang pengajaran dan pembelajaran untuk keesokan harinya. Pelbagai kerja perkeranian seperti mendokumentasi pelbagai dokumen menjadi tugas rutin seorang guru. Guru juga biasanya terpaksa memenuhi masa rehat mereka di sekolah dengan mengantikan guru yang tidak hadir. Pelbagai kursus dan bengkel terpaksa dihadiri oleh guru-guru.Dasar-dasar pendidikan yang bersifat dinamik memerlukan guru untuk mengikuti pelbagai kursus perubahan. Pelbagai lagi tugas guru yang sukar digambarkan dengan kata-kata telah menjadi darah daging mereka selama ini.
Alhamdulillah, guru sentiasa mendapat perhatian dan pembelaan kerajaan yang memerintah. Pada pendapat saya, guru-guru tidak harus bersifat statik, mereka harus dinamik dan sentiasa progresif. Jangan takut pada perubahan kerana perubahan pasti akan berlaku selari dengan perkembangan semasa. Guru-guru harus berfikiran terbuka,sahut cabaran kerajaan untuk guru bertugas sehingga jam 4.30 petang. Cuma diharapkan pihak kementerian pelajaran dapat mengurangkan beban tugas guru dan memastikan guru hanya bertugas untuk mendidik. Tempatkan beberapa guru tambahan yang bertugas untuk menjadi guru ganti. Kerja-kerja perkeranian dilakukan oleh pembantu hal ehwal murid.

PENATNYA BERKURSUS INDUKSI NI…
sALAM sATU mALAYSIA buat semua… Minggu ini dan minggu lepas saya tiada di sekolah….mengikuti Kursus di M Suite Hotel, Johor Bahru selama 14 hari. Rasa terlalu lama kursus kali ni. Jadual kursus yang padat menyebabkan tekanan yang begitu mendalam. Bangun pagi pukul 5.30 pagi dan tidur malam lepas jam 12. Penatnya hanya tuhan yang tahu.
Sedih juga sbb tak dapat jumpa kawan-kawan yang dah dapat Surat Bertukar…khususnya Cikgu Zubir. Pe pon tahniah pada beliau, tapi denga-denga Cikgu Zubir dapat sekolah Cina ye….Tak kisah lah cikgu, mana-mana pon sama. Tak lama lagi pandai lah cikgu zubir berbahasa mandarin ya…
Kepada cikgu-cikgu lain, saya ucapkan sayonara dan selamat berugas di sekolah baru…jangan sampai lupakan kami di sini..

Selamat Bercuti Buat Semua..
Salam buat semua… Lama sekali saya tidak menulis di ruangan ini…kesibukan sejak kebelakangan ini telah membuatkan saya begitu tertekan. PKSR 2 baru sahaja berlalu..Alhamdulillah saya telah menyelesaikan apa yang menjadi kewajiban saya selaku seorang guru. Siang tadi Erecess telah mengadakan jamuan untuk semua JK dan pengawas. Sesi bergambar telah membuatkan hati saya begitu tersentuh…kenapa dan mengapa biarlah menjadi rahsia saya …
Sedih juga bila terkenangkan semua peristiwa pahit manis yang telah berlalu di sepanjang sesi persekolahan 2009 yang akan berlalu seminggu lebih sahaja lagi. Terlalu banyak kenangan manis yang sukar dilupakan. Tahun hadapan pasti ada yang akan meninggalkan kita. Ada yang akan bertukar, ada yang akan meneruskan kehidupan dengan rutin hidup yang baru. Sahabat saya Cikgu Zubir akan berpindah ke Tangkak begitu juga dengan beberapa rakan yang lain. Pasti saya akan kesunyian. Namun yang pasti kehilangan satu-satunya guru yang paling glamour yang telah menyerikan sekolah ini pasti akan menyuramkan suasana tahun 2010. Bagi saya guru ini telah memberi satu inspirasi yang memberi impak yang besar terhadap sekolah ini.Namanya sering menjadi sebutan di Bilik Makan Lelaki. Dia menjadi topik perbualan hangat di kalangan guru lelaki. Ramai yang memujanya dari jauh, tidak kurang ada yang menaruh harapan untuk menyuntingnya menjadi teman hidup. Beliau merupakan seorang guru yang komited menjalankan tugasnya. Wajahnya sentiasa tenang walau diberi apa sahaja tanggungjawab. Beliau merupakan pengguna Erecess yang paling aktif.
Tahun 2010 pasti akan datang, bermakna beliau tidak akan ada lagi di sekolah ini. Tidak akan hadir memeriahkan Erecess lagi.Menurut ceritanya, beliau akan melanjutkan pelajarannya nun jauh di Kuala Lumpur. Pasti namanya akan kekal harum terutama di ingatan guru-guru lelaki. Pasti takde lagi guru lelaki yang akan bergaduh dan bermasam muka kerananya.Beliau merupakan seorang insan yang berhati mulia. Saya langsung tidak nampak cacat cela padanya. Namun walau apa pun beliau pasti akan pergi juga meninggalkan kita semua…Saya adalah orang pertama yang tidak akan dapat melihat kelibatnya selepas esok…. Saya mendoakan semuga beliau memperoleh keberkatan dalam setiap apa yang dilakukan. Pesan saya, jangan lupakan kami di sini. Masa pasti akan membuatkan beliau lupa. Di kesempatan ini saya ingin menyusun sepuluh jari memohon ribuan ampun dan maaf daripadanya.
Apapun saya mengharapka semua itu akan menjadi satu memori paling indah di dalam hidupnya.
ADIOS SAYONARA…….

Dah Dekat Nak Raya Dah Ni…Terlalu Besar pengorbanan Seorang Ibu

Alhamdulillah Hari Raya Idul Fitri telah semakin hampir. Alangkah sedihnya kita untuk meninggalkan bulan yang penuh keberkatan ini. Setiap kali menjelang akhir ramadhan saya akan terkenang kepada arwah ibu saya yang tercinta. Almarhumah pergi meninggalkan saya pada malam Jumaat, 25 Ramadhan ,betul-betul ketika semua umat islam berbuka puasa kira-kira sembilan tahun yang lalu. Walau telah berlalu sembilan tahun namun kenangan itu bagaikan baru saje berlaku semalam. Sungguh besar pengorbanan ibu. Tidak ternilai dengan segunung intan, sampai bila-bila pun saya tidak mampu membalasnya.
Sebetulnya ibu saya sakit tidak lama. Hanya kira-kira dua bulan sahaja. Sebulan di hospital dan sebulan di rumah. Selama sebulan di hospital, saya telah mengambil cuti rehat untuk menjaga ibu. Siang malam saya di hospital menemaninya. Begitu juga apabila almarhumah pulang ke rumah, saya sentiasa berada di sisinya untuk menyedikan segala keperluannya. Pada ketika itu arwah telah tidak mampu untuk berjalan. Segala keperluanya saya penuhi sedaya mungkin. Masih terbayang saya mendukungnya untuk ke tandas. Setiap kali ke tandas arwah akan menangis kesakitan yang ditanggungnya. Saya akan mendukungnya dengan kaedah yang paling selesa untuk mengurangkan kesakitannya itu. Tubuh ibu hanya tinggal tulang sahaja pada ketika itu. Alangkah pilunya hati saya setiap kali melihat penderitaan yang ditanggungnya. Pada hari-hari terakhir ibu telah berlaku satu peristiwa yang amat menyentuh perasaan dan tidak akan saya lupakan sehingga akhir hayat saya.
Ibu sebetulnya seperti tahu yang dia akan pergi meninggalkan kami buat selama-lamanya. Ibu telah menyatakan hasratnya untuk merayakan Hari Raya terlebih dahulu kerana katanya pada tahun itu beliau pasti tidak akan dapat merayakannya bersama anak-anak. Arwah meminta kami memasak lontong, rendang dan sambal goreng untuknya. Saya telah berusaha sedaya upaya untuk menyediakan permintaannya itu. Pada petang terakhir sebelum beliau menghembuskan nafas terakhirnya, beliau telah menjamah semua makanan yang saya sediakan dengan berselera sekali. Sambal goreng yang dibuat oleh kakak sulung saya dimakan dengan penuh selera. Begitu juga dengan lontong dan kuah lodeh. Dengan linagan air mata saya menemaninya. Saya seolah mengerti bahawa itulah saat akhir saya bersama ibu di dunia yang fana ini. Saya memeluknya dengan penuh kasih sayang sambil memujuknya agar redha dengan ketentuan illahi.Genap jam tujuh malam, saya terhidu satu bentuk harumah yang amat indah. Belum pernah saya temui haruman yang begitu harum seperti itu. Air mata ibu semakin deras mengalir. Ibu tersedu-sedu. Saya usap air mata ibu sambil mententeramkannya. Sedihnya melihat apabila bulu kening ibu mulai gugur bersama air matanya. Saya pasti itulah detik-detik akhir ibu di dunia ini. Haruman menjadi semakin kuat menerjah di sekeliling katil ibu. Saat azan marghrib berkemundang, ibu pergi meninggalkan saya buat selama-lamanya. Saya tidak mampu lagi mengalirkan air mata, hanya mampu berdoa agar rohnya ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman. Selama empat puluh hari rumah ibu berbau harum, begitu juga di dalam kereta saya.
Kini telah sembilan tahun ibu pergi meninggalkan saya. Tidak terbalas jasa-jasanya walau saya serahkan segala harta yang saya miliki. Ibu telah mendidik saya menjadi seorang yang redha dengan segala ketentuanNya. Sentiasa beringat untuk menolong dan membantu sesama manusia. Hari Raya Tahun ini telah mengingatkan saya akan pengorbanan ibu. Ketekunannya mendidik saya dan ketabahannya yang sentiasa berdoa untuk kesejahteraan saya.
Kepada para sahabat yang masih mempunyai ibu, jagalah mereka seperti mana kalian menjaga diri kalian sendiri. Jangan lah sesekali menyakiti hati ibu. Tunaikan segala permintaannya walau kalian terpaksa bergolok bergadai. Jangan sesekali mengungkit atau berkira dengan ibu. Insya Allah tuhan akan memberkati kita sentiasa.
Al Fatihan buat ibuku Almarhumah Asmiah Binti Kasmin dan Almarhum Ayahandaku Maulan Bin Safin… semuga kalian tenang di sana… Insya Allah..

Selamat Berpuasa Dan Selamat Menyambut Hari Raya Yang Mulia..

Salam buat semua…
Agak lama rasanya saya Tidak diberi kesempatan oleh Allah untuk menulis di ruangan ini. Kesibukan adalah sahabat manusia lebih-lebih lagi manusia yang sering mengejar dunia. Pelbagai peristiwa yang berlaku akan menjadi guru dalam mematangkan kita. Kesibukan dengan pelbagai aktiviti, kerja dan keperluan telah menyebabkan kita sering alpa dengan tanggungjawab walau kesibukan itu juga adalah untuk menunaikan tanggungjawab.
Alangkah bahagianya manusia jika mampu mengalas tanggungjawab yang diamanahkan dengan sempurna. Keupayaan manusia sentiasa terbatas. Mereka yang hebat adalah mereka yang berupaya mengalas pelbagai tanggungjawab dengan berkesan. Di bulan ramadhan yang penuh keberkatan ini, tanggungjawab utama kita ialah menunaikan ibadah puasa dengan penuh keikhlasan. Ramai orang berkata yang keikhlasan itu milik Allah s.w.t, namun selaku pemilik perbuatan kita sewajarnya tahu tahap kemurnian dan sucihati yang kita miliki.
Sesi persekolahan telah pun bermula beberapa hari. Para pelajar masih tetap ceria seperti dulu. Begitulah mereka, walau apa pun yang melanda mereka seperti tidak dapat mengendahkannya. Keseronokan menjadi agenda utama. Bermain adalah kemahiran mereka. Dalam kita redha dengan situasi demikian, selaku warga dewasa kita harus menghulurkan tangan untuk membimbing mereka. Bimbinglah mereka mengikut kemampuan kita. Harus diingat bahawa kemampuan mesti dipertingkat dari semasa ke semasa. Menuntut ilmu adalah wajib kepada semua dan kita tidak harus berhenti pada tahap-tahap tertentu. Teruskan usaha-usaha meningkatkan tahap keilmuan kita. Jangan diselitkan rasa malu atau segan untuk bertanya kepada yang tahu. Buang jauh-jauh rasa ego yang menebal kerana ego adalah tembok penghalang yang boleh membantutkan niat kita .
Alhamdulillah nampaknya pandemik H1N1 telah mulai surut, namun satu berita yang mengejutkan telah membuatkan kita terus dibelenggu rasa ketakutan yang keterlaluan. WHO telah menemui satu lagi Virus baru yang terhasil akibat mutasi virus influenza A H1N1 yang dikatakan lebih kuat dan berbahaya. Ia boleh terus menyerang sistem respirasi manusia mencapai tahap akut. Jika kita perhatikan fenomena ini bagaikan dirancang. Lepas satu-satu virus baru ditemui…adakah semua ini ketentuan tuhan atau perbuatan jahat manusia demi mengaut keuntungan. Teori sebegini agak sukar untuk dibuktikan namun kita harus lah berhati-hati. Globalisasi telah memecahkan sempadan negara dan batas manusia. Mampukah kita untuk terus berdiam diri dan sentiasa menjadi pemerhati yang naif. Pernahkan kita bertanya adakah vaksin yang digunakan untuk mengawal pandemik H1N1 Halal untuk kita gunakan?
Aahh….

Wassalam.
Pendidik Dan Era Ledakan Maklumat

Alhamdulillah bertemu kita sekali lagi di ruangan ini untuk kita sembang-sembang berkaitan isu Pendidik dan Ledakan Maklumat yang melanda setiap individu di dunia ini.
Pendidik di era ledakan maklumat masakini mempunyai tanggungjawab yang sangat besar. Pendidik harus bergerak sama ada selari atau lebih pantas daripada ledakan itu. Jika pendidik masih lagi statik dan alpa dengan perubahan pesat ledakan maklumat, mereka akan ketinggalan dan terus ditinggalkan. Ilmu pengetahuan dan disiplin akademik yang mereka miliki akan menjadi tidak relevan. Para pendidik kan jadi seperti katak di bawah tempurung…
Mahu tidak mahu mereka harus berubah menjadi lebih dinamik dan prolifik. Susah sangatkah untuk berubah? Mungkin sukar bagi mereka yang berhidung tinggi dan ego yang selalu merasakan mereka telah tahu serba serbi sedangkan hakikatnya pengetahuan mereka itu telah menjadi lapuk. Bila berdetik di hati kita bahawa kita harus berubah, itu adalah petanda awal kita telah mula berlapang dada dengan ledakan maklumat yang sangat pantas bergerak.
Berlapang dada adalah sifat mulia yang harus ada pada setiap diri seorang pendidik. Berlapang dada membuatkan kita mudah menerima pembeharuan. Tidak segan silu bertanya kepada yang tahu, merujuk pada yang pakar. Menuntut ilmu tiada noktahnya. Ia adalah Fardhu, tiada kompromi mengenainya.Dengan ini bermulalah langkah seorang pendidik yang dinamik untuk menyerap setiap milimeter ledakan maklumat yang melanda.
Bagaimana harus kita bermula.Dalam apa jua yang kita lakukan hatta solat sekalipun, ilmu merupakan elemen utama. Tiada ilmu segalanya menjadi kosong. Mulakan langkah untuk mengenalpasti beberapa kemahiran mengapai maklumat daripada pelbagai sumber yang ada. Sumber maklumat tradisional ialah buku dan bahan tulisan bercetak. Ia masih lagi relevan tetapi agak terkebelakang. Disiplin ilmu yang diterbitkan melalui bahan bercetak buku telah pun ketinggalan beberapa tahun kebelakang. Buku mengambil masa sekurang-kurangnya enam bulan untuk melalui beberapa proses fizikal dan pendaftaran.
Sumber elektronik telah menjadi semakin dominan dengan kehidupan manusia masakini. Buku elektronik juga telah menjadi salah satu sumber penting yang tidak harus di kesampingkan. Para pendidik harus menguasai pelbagai kemahiran mengapai maklumat elektronik melaui pelbagai medium termasuk internet. Seharusnya setiap orang guru mempunyai akses kepada medium ini para peringkat yang sangat maksimal. Malangnya masih begitu ramai pendidik yang masih lagi tidak memiliki peranti-peranti asas di samping gajet-gajet elektronik untuk membolehkan mereka memulakan langkah masuk ke era ledakan maklumat elektronik yang tiada batasannya ini. Ayuh rakan-rakan sekelian, mulakan langkah kalian untu menjelajahi tamadun baru kemanusiaan agar kita tidak lagi ketinggalan. Tinggalkanlah pelbagai alasan yang sering kita gunakan untuk mengelak sesuatu. Bagi saya, walau apapun alasan yang diberi, rakan-rakan pendidik sekelian tidak lagi mempunyai alibi untuk mengelak. Tanyalah diri kita…”Masih Relevankah Kita Sebagai Pendidik Hari Ini?”
Sebagai permulaan….marilah kita sama-sama berlapang dada untuk memulakan Langkah Pertama bersempena Kedatangan Bulan Ramadhan Yang Penuh Keberkatan ini.
Selamat Berpuasa…

Demonstrasi Di Ibu Negara

Salam Sejahtera Kepada Semua….
Alhamdulillah…ini adalah Tulisan Pertama saya dalam Ruangan ini yang akan mengupas isu Demonstrasi Di Kuala Lumpur baru-baru ini..
Terlebih dahulu saya ingin menyokong gesaan YAB Perdana Menteri kita yang akan membenarkan mana-mana Demonstrasi di adakan secara aman di dalam stadium yang tertutup untuk memberi ruang kepada rakyat jelata menzahirkan pandangan dan pendapat mereka yang terbuku selama ini. Bagi saya Demonstrasi secara aman yang dianjurkan oleh sesebuah Organisasi sah harus dibenarkan. Ia boleh diadakan di dalam stadium tertutup atau di dalam dewan tertutup dan tidak di kawasan terbuka seperti yang berlaku di ibu negara baru-baru ini.
Organisasi yang menganjurkan mana-mana Demonstrasi harus bertanggungjawab di atas apa jua yang berlaku akibat daripada penganjuran tersebut. Melakukan tunjuk perasaan di jalanan adalah satu bentuk protes yang agak ketingalan dan tidak lagi sesuai dilakukan di era di mana tamadun manusia telah begitu maju. Apatah lagi ia dilakukan di negara yang cukup aman dan tenteram seperti di Malaysia. Tidak ada yang cacat dan kurangnya negara ini. Kalo ada sedikit-sedikit kekurangan itu adalah biasa. Kita harus bijak mentadbir kekurangan dengan cara dan keadah yang sesuai dan dibenarkan oleh undang-undang.
Bagi saya ISA masih relevan apatah lagi kebanyakan bekas tahanan ISA juga menyokong akta tersebut. Saya heran mengapalah kita takut sangat dengan akta tersebut jika kita selalu bertindak rasional dan tidak melanggar undang-undang. Belum ada mereka yang TIDAK BERSALAH ditangkap dan dihukum di bawah akta itu.Kita bukan sahaja harus sentiasa ‘bersih’ tetapi juga harus kelihatan ‘bersih’. Kawan yang baik akan menjadikan kita kelihatan baik namun jika kita berkawan dengan mereka yang sering melanggar undang-undang maka kita juga akan dianggap sama seperti itu.
Kalau melihatkan bilangan yang menyertai demonstrasi baru-baru ini tergambar di fikiran saya…adakah seramai itu orang yang bakal dan berniat melanggar undang-undang dan melakukan pelbagai kesalahan yang bersifat subsersif yang boleh mengugat keharmonian negara ini pada suatu hari nanti? Tapi saya percaya ramai yang hadir pada hari itu tidak faham apa itu ISA, apa itu politik sebenarnya dan mengapa kaedah berarak di jalanan dipilih.
Kepada para pelajar dan anak-anak murid semua… patuhilah undang-undang kerana undang-undang digubal untuk mendidik dan mencegah manusia daripada melakukan sesuatu dengan sewenang-wenangnya.Saya melihat sekolah harus menjadi satu platform yang penting dalam mendidik pelajar mematuhi undang-undang. Kerajaan harus memikirkan untuk mewajibkan para pelajar atau murid sekolah mengambil dan mengikuti subjek asas undang-undang selain mewajibkan para pelajar lulus subjek Sejarah.Tentu ramai yang bingung dan takut kerana pelajar diwajibkan lulus terlalu banyak mata pelajaran. Usah bimbang saudara-saudari….bagi saya sudah tiba masanya negara kita mengubah sistem pengajaran dan pembelajaran konvensional yang telah sekian lama kita lalui yang bagi saya gagal mencapai matlamat pendidikan yang kita harap-harapkan. Pengajaran dan pembelajaran di kelas harus dihadkan. Untuk mengajar bahasa misalnya harus dilakukan di Makmal Bahasa sama seperti untuk mengajar sains yang dilakukan di makmal sains. Bagi saya tidak perlu menambah bilangan waktu P&P untuk meningkatkan penguasaan tetapi memadai melakukan revolusi menyeluruh kepada sistem P&P yang telah lapuk. Insyaallah di dalam tulisan yang akan datang saya akan mengupas lebih lanjut idea dan inovasi saya untuk meningkatkan keberkesanan P&P di sekolah-sekolah.
Sekian Wassalam…

Responses

  1. Tahniah kepada pihak eReCeSs. Mungkin ini percubaan pertama pihak sekolah Sri Saujana dalam menyokong celik IT dan memperkenalkan penggunaan website kepada pelajar. Walaupun begitu saya berpendapat pengisiannya cukup baik dan berguna khususnya kepada pelajar dan secara am kepada ibubapa. Sangat berpengetahuan! dengan mudah saya pergi ke pautan sesawang berpengetahuan yang lain. Tidak sangka anak saya yang bersekolah di SKSS tahun 2UUM Nur Aina Idyanie begitu teruja untuk melayari website ini.
    Satu sahaja cadangan saya, mungkin pihak ERECESS perlu menyediakan suatu aktiviti didalam website ini yang bersesuaian untuk bacaan dan latihan bagi pelajar tahun 1, 2 dan 3. Dan mungkin juga perlu pendedahan disekolah contohnya satu sesi seminggu untuk mereka layari website ini dibawah pengawasan dan tunjuk ajar guru. Ini kerana mungkin ada antara murid2 yang tiada PC facility dirumah.

  2. Tersentuh bc cerita cikgu..yup..parents must be alwayz no.1.. thx for reminding me…

  3. Thanks sbb ada juga yg sudi baca coretan saya tu……
    Cikgu takde ke nak berkongsi pengalaman …. kalo ade kirim je kat saya t saya uploadkan..

  4. hihi.. sy xpandai nak bercoret-coretan nie.. pandai conteng-contengan jer.. hihi


Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: